Entering 'HELANG' territory at your own risk.

'BACA-lah Dengan Nama Tuhanmu Yang Maha Tinggi..'

Allah s.w.t. berfirman mafhumnya: "Wahai orang yang beriman, bertakwalah kalian kepada Allah dengan sebenar -benar taqwa, dan janganlah kamu mati kecuali kamu dalam keadaan Muslim." ( Surah Ali 'Imran : 102 )


" JIHAD YANG PALING UTAMA IALAH (MENYAMPAI) KATA-KATA BENAR DIHADAPAN PEMIMPIN YANG MENYELEWENG ".
(Riwayat At-Turmizi & Ibnu Majah)


“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang membuat zalim nanti kamu akan disambar oleh api neraka sedangkan kamu tiada sebarang penolong pun selain dari Allah. kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan”
(Surah Hud: 113)

"Manusia ketika di dunia semuanya tidur (lalai), bila mati baru mereka terjaga (tersedar)." ( Sayidina 'Ali r.a.)

"Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasullulah s.a.w. bersabda yang bermaksud; "Tuhan kita turun pada setiap malam ke langit dunia ketika tersisa sepertiga malam terakhir dan berfirman, 'Sesiapa yang berdoa kepada-Ku maka Aku memenuhinya. Sesiapa yang memohon kepada-Ku maka Aku akan memenuhinya. Sesiapa yang meminta ampun maka Aku mengampuninya.'"
( Hadis Qudsi Riwayat al-Bukhari, Muslim, AbuDaud dan lain-lain.)

Tuesday, August 31, 2010

'KHALIFA' SUNTIK DANA UNTUK HESA

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

Hasil minyak di perairan negeri Kelantan melayakkan negeri itu untuk memperolehi royalti sebanyak 5 peratus daripada Petronas. Namun hingga kini rakyat negeri Kelantan dinafikan hak mereka oleh Barisan Nasional yang sengaja menyekat pembayaran tersebut.

Lain pula ceritanya di Kedah, hasil jualan minyak pelincir menjadi rezeki buat institusi pendidikan Islam yang bernaung di bawah Unit Hal Ehwal Sekolah Agama (HESA) kelolaan Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah.

HESA TANAH SUBUR MENABUR BENIH PERJUANGAN

Oleh IZWAN ABDUL HALIM


izwan@harakah.net.my

“Dari sebutir benih, tumbuh tujuh tangkai, sedang setiap tangkai mengandungi 100 biji.”

Demikian indahnya tamsilan Allah kepada perlakuan menafkahkan harta di jalan-Nya, jauh lebih puas dari saujana mata memandang hamparan padi yang menguning.

Suburnya benih yang disemai, mungkin seperti itu jugalah tumbuh suburnya institusi-institusi pendidikan agama di Kedah. Walaupun pernah diracun sakit oleh regim Barisan Nasional pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad, namun rakyatlah yang gigih membantu menyiram dan membajanya untuk kekal bertahan.

Dengan kini Kedah diterajui PAS yang mendukung cita-cita Islam, ia menjadi ‘ruang dan peluang’ untuk sekolah agama kembali dan lebih perkasa dipersada masyarakat.

Rujuk keputusan Majlis Fatwa: Jakim


SHAH ALAM – Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 memutuskan bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat mendapat izin pengurusan masjid dan menjaga tingkah laku serta tidak mencemarkan kesucian masjid.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata, keputusan muzakarah yang bersidang pada 1 Mac 2010 lalu wajar dijadikan garis panduan pihak berkuasa agama negeri dalam usaha mengelakkan kekeliruan.

Bagaimanapun, orang bukan Islam dilarang berdoa dan bertafakur mengikut cara agama mereka atau dengan cara yang boleh menimbulkan fitnah di masjid atau surau.

“Keputusan muzakarah amat jelas. Masalah perbezaan pendapat (berkenaan bukan Islam boleh atau tidak memasuki masjid) ini tidak berlaku di luar negara.

“Di Malaysia, fikiran dicemari sentimen politik kepartian. Ia menyebabkan kita lupa kepada prinsip asas agama Islam itu sendiri,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Di samping menjadikan keputusan muzakarah sebagai panduan, Wan Mohamad menasihatkan jawatankuasa masjid dan surau terus membuat rujukan kepada majlis agama negeri masing-masing.

Menurutnya, ini kerana majlis agama juga mempunyai garis panduan yang telah pun ditetapkan.

“Sebelum membenarkan sebarang majlis dijalankan di masjid, jawatankuasa perlu rujuk kepada majlis agama supaya tidak berlaku apa-apa masalah.

“Kita juga menggalakkan jawatankuasa menyediakan pakaian menutup aurat kepada pengunjung masjid dan surau seperti kain penutup kepala untuk wanita,” katanya.

Pada 22 Ogos lalu, Ahli Parlimen Serdang dari DAP, Teo Nie Ching yang masuk ke Surau Al-Huda, Kajang yang memberikan ucapan dalam satu majlis penyampaian bantuan kepada surau tersebut mencetuskan kontroversi.

Dua hari selepas itu, Ahli Parlimen Selayang,dari Parti Keadilan Rakyat, William Leong Jee Keen pula dilaporkan memasuki ruang solat Masjid Al-Taqwa Selayang Baru untuk menyampaikan sumbangan kepada wakil tujuh masjid dan 27 surau di Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer.- Sinar Harian.

Taksub politik pinggirkan larangan agama - Zul Nordin SANGAP?


Gambar Hiasan
SHAH ALAM – Pemimpin politik sepatutnya tidak bertindak menghalalkan segala larangan dalam agama Islam demi kepentingan politik mereka.

Ahli Parlimen Kulim, Bandar Baharu, Zulkifli Noordin berkata, kebelakangan ini ramai pemimpin politik dan ahli agama terdesak untuk mendapatkan sokongan sehingga membenarkan ruang solat dijadikan tempat menerima bantuan kewangan daripada bukan Islam.

“Apakah para ilmuwan agama ini membutakan mata mereka kepada fakta sebenar yang berlaku? Para wakil rakyat (bukan Islam) datang atas nama politik kepartian. Mereka mengharapkan undi bagi pilihan raya akan datang.

“(Sedangkan) Rasulullah membenarkan orang bukan Islam memasuki kawasan masjid bukan bertujuan menerima atau mengagih sumbangan, tetapi menyeru mereka kepada Islam,” katanya menerusi laman blognya, zul4kulim.blogspot.com.

Zulkifli berkata demikian sebagai mengulas tindakan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching yang memasuki Surau Al-Huda Kajang dan Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen yang memasuki ruang solat Masjid Al-Taqwa Selayang Baru.

Menurutnya, walaupun tidak bersetuju dengan alasan kedua-dua Ahli Parlimen itu yang menyatakan mereka tidak tahu hukum memasuki ruang solat, beliau tidak menyalahkan mereka sepenuhnya.

Sebaliknya, Zulkifli mempertikaikan tindakan segelintir orang Melayu beragama Islam yang memberikan kebenaran itu.

“Malah ada ilmuwan agama yang menyokong dengan pelbagai teori dan falsafah. Habis dikorek segala kitab kuning untuk menghalalkan tindakan membenarkan orang bukan Islam memijak tempat utama solat.

“Seteruk-teruk keadaan umat Islam di Gaza, mereka takkan benarkan seinci masjid mereka dijejak kafir di sana. Apatah lagi, kafir yang terang-terang menolak Islam, menolak perlaksanaan hukum Islam, dan menolak penubuhan sebuah daulah Islamiyyah,” katanya - Sinar Harian.

Pas desak Azizan


ALOR SETAR - Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak mendedahkan, beliau pernah didesak supaya meletak jawatan oleh ahli Pas sendiri yang tidak sabar mahu melihat Kerajaan Kedah pimpinannya segera melaksanakan hukum hudud.

Azizan berkata, desakan itu disuarakan pada awal penggal tidak lama selepas Pakatan Rakyat (PR) berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum 8 Mac 2008.

“Perkara itu sudah lama. Ketika itu, kita baru saja ambil alih negeri Kedah. Ada cadangan menyuruh saya ikut Kelantan laksana hudud, tetapi takkan lah saya nak buat perubahan drastik sedangkan baru memerintah negeri,” katanya.

Azizan berkata, ketika desakan itu dibuat, keadaan tidak praktikal untuk melaksanakan sistem perundangan baru dan tidak menolak kemungkinan akan dikaji pada masa akan datang.

Bagaimanapun katanya, melaksanakan hudud bukan agenda utama Kerajaan Negeri dan tidak diberi keutamaan buat masa ini.

"Kelantan pun sehingga kini sukar untuk melaksanakan hudud. Saya rasa, Kedah elok tunggu sehingga Kelantan buat dulu dan melihat bagaimana ia diterima pakai supaya kita dapat melihat implikasi pelaksanaannya," katanya.

Azizan berkata, jika Kelantan melaksanakan hudud sekalipun, Kedah tidak perlu terburu-buru meniru negeri itu semata-mata sebab mahu menguatkuasakan undang-undang syariah.

"Situasi kedua-dua buah negeri berbeza, penerimaan pun mungkin berbeza kerana Kelantan majoriti penduduknya Melayu,” katanya.

Azizan berkata, meskipun hudud bukan menjadi keutamaan di Kedah, usaha menerapkan nilai-nilai Islam lebih diberi penekanan sama ada dalam urusan pentadbiran mahupun kemasyarakatan.

“Keutamaan kita adalah untuk menerapkan nilai-nilai Islam terlebih dahulu, antaranya memerangi rasuah dengan kesedaran, meningkatkan kebajikan rakyat serta menolak penyelewengan. Ini pun kita buat secara perlahan-lahan supaya dapat diterima semua pihak,” katanya.

Azizan berkata, untuk melaksanakan sistem hudud, ia juga bergantung kepada keupayaan sesebuah negeri untuk menguatkuasakan perundangan itu dalam kalangan rakyatnya.

“Biarlah Kelantan buat dahulu, kita tengok kesannya,kemudian kita nilai dan pertimbangkan," katanya - Sinar Harian

Pemimpin BN lain wajar contohi MB Perlis



ALOR SETAR - Tindakan menjemput pemimpin pembangkang menghadiri program anjuran Kerajaan Negeri merupakan perkara biasa di Kedah.

Exco Kanan Kerajaan Negeri, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi berkata, langkah itu merupakan satu protokol biasa diamalkan Kerajaan Negeri dan jemputan dibuat sebagai menghormati pemimpin pembangkang yang dilantik sebagai wakil rakyat di kawasan berkenaan.

Menurutnya, kesemua pemimpin parti dan masyarakat seharusnya memandang apa yang berlaku di Perlis sebagai satu petanda baik yang menunjukkan Kerajaan Negeri dan pembangkang sedia bekerjasama demi kepentingan rakyat walaupun berbeza fahaman politik.

“Melihat apa yang berlaku di Perlis, saya fikir mana-mana pemimpin politik yang tidak berpuas hati seharusnya menghindarkan sentimen politik yang berlebihan sehingga menganggap parti lawan sebagai musuh.

“Ini kerana asas perjuangan mana-mana parti politik adalah sama iaitu memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan saya harap tindakan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu menjemput wakil rakyat pembangkang menyertai programnya perlu dicontohi pemimpin lain,” katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian semalam.

Beliau berkata sedemikian ketika diminta mengulas mengenai respon segelintir pemimpin politik dan masyarakat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) DUN Simpang Empat, Perlis yang kecewa dengan tindakan Dr Md Isa menjemput ADUN Pas, Rus’sele Eizan bersama beliau menyampaikan sumbangan di kawasan itu.

Ir Phahrolrazi yang juga Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kedah berkata, tidak timbul isu kesilapan strategi politik sekiranya kedua-dua pemimpin itu ikhlas memberi bantuan kepada rakyat.

Menurutnya, isu sedemikian tidak pernah timbul di Kedah kerana kedua-dua pihak mengamalkan sikap hormat-menghormati di samping matang dalam berpolitik.

“Ambil contoh semalam (kelmarin), sewaktu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee Heung mengadakan lawatan kerja ke Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), saya turut hadir itu sebagai menghormatinya.

“Saya fikir rakyat sekarang sudah boleh menilai keikhlasan seseorang pemimpin memberi sumbangan kepada mereka tanpa perlu mengadakan program berdasarkan kepartian semata-mata,” katanya.

Ir Phahrolrazi juga melihat apa yang berlaku di Perlis sebagai tindakan kumpulan tertentu yang cuba mencari alasan untuk menjejaskan kredibiliti Dr Md Isa di mata ahli UMNO dan rakyat Perlis.

“Bagi saya, tindakan mengkritik Menteri Besar adalah tidak wajar dan berniat jahat untuk menjatuhkan reputasi pemimpin itu,” katanya. (Sinar Harian.)

Hudud cara terbaik - Nik Abdul Aziz Nik Mat



KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Kerajaan Pas Kelantan tidak berputus asa untuk melaksanakan undang-undang hudud di negeri ini walaupun mendapat halangan daripada Kerajaan Pusat.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, pihaknya sedaya upaya melaksanakan undang-undang tersebut berdasarkan kemampuan yang ada di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri.

“Apa yang mampu untuk kita laksanakan di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri kita kan buat. Kita membatas penjualan arak, mengharamkan riba, melarang acara tari-menari di majlis-majlis keramaian, menguatkuasakan larangan menghidangkan minuman alkohol di hotel-hotel dan banyak lagi perubahan,”katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Sambutan Hari Hudud Negeri Kelantan di sini semalam.

Kelantan sebelum ini meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) pada tahun 1993 sekali gus menjadi negeri pertama yang meluluskan undang-undang yang berkaitan hudud.

Dalam pada itu Nik Abdul Aziz berkata, peningkatan gejala sosial yang melanda negara kini adalah kerana undang-undang yang digunakan tidak berjaya mencegah kemungkaran yang berlaku dalam kalangan masyarakat.

Malah katanya, peningkatan gejala sosial pula kini sampai ke tahap yang sangat membimbangkan, ditambah lagi dengan purata setiap 16 minit satu kes kecurian di negara kita.

“Kes-kes buang bayi pula semakin membimbangkan di mana ia meningkat 154 peratus dengan 54 kes dari Januari hingga kini, berbanding hanya 42 kes pada tempoh yang sama tahun lalu. Begitu juga dengan peningkatan kes pembunuhan, rogol, ragut dan pelbagai jenayah lain,” katanya.

Nik Abdul Aziz berkata, hudud telah diberikan imej yang cukup buruk oleh media Barat dengan sokongan media sekular di dalam negara menjadikan masyarakat sering kali tersalah anggap tentang hukuman tersebut.

Anak Kedah di perantauan bertemu MB di majlis buka puasa


http://www.wartakedah.net/images/stories/OGOS2010/ramai.jpg
http://www.wartakedah.net/images/stories/OGOS2010/gelak.jpg

Petaling Jaya, 29 Ogos – Lebih seribu anak Kedah di sekitar Lembah Kelang hadir di majlis berbuka puasa bersama YAB Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak.

Majlis yang julung kali diadakan sejak Dato’ Seri Ustaz Azizan mengambilalih pentadbiran negeri Jelapang Padi itu diadakan di Dewan Sivik, Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Program dianjurkan oleh YAB Menteri Besar. Anak-anak Kedah kelihatan hadir beramai-ramai sejak lima petang ke lokasi program.

Menurut penganjur, kehadiran anak Kedah adalah di luar dugaan sama sekali sehingga memaksa mereka menambah khemah di luar dewan tempat berlangsungnya program.

Antara yang hadir ialah bekas Menteri Pelancongan, Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir serta sebahagian besar anggota Exco Kerajaan Negeri Kedah

Umno jadi macam beruk telan mercun

Gambar Hiasan.







 PERMATANG PAUH, 30 Ogos: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu menyifatkan, Umno kini tidak ubah seperti seekor beruk yang tertelan mercun sehingga mulutnya terpaksa dijahit akibat letupan ketika bermain bersama tuannya.

Apa tidaknya, tambah beliau, semua bahan dakyah yang direka khas untuk memecahbelahkan PAS dan Pakatan Rakyat mahupun memperlihatkan kepada dunia bahawa PAS tidak patriotik terhadap negara akhirnya memakan diri Umno.

Katanya, kenyataan demi kenyataan pimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) semakin hari kian berkumandang di dada akhbar atau media elektronik menghentam PAS dan Pakatan Rakyat.

"Umno tidak ubah seperti beruk yang menelan mercun sehingga mulutnya terpaksa dijahit kerana bahan itu meletup. Bila tuan beruk membakar mercun, dia baling ke atas, maka beruk ingatkan benda apa, lalu melompat dan terus memasukan ke dalam mulutnya.“Apa lagi, pecah mulut binatang tersebut," ujarnya sinis ketika berucap pada program Ihya Ramadhan Perdana di Tapak Ekspo Seberang Jaya, malam tadi.

Turut berceramah ialah Ketua Menteri Pulau Pinang , Lim Guan Eng dan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Halim Husain

Berucap dalam majlis anjuran Lajnah Penerangan PAS negeri itu, beliau berkata, rakyat kini sudah matang berpolitik dan tidak menunjukkan reaksi terhadap isu yang ditimbulkan Umno itu.

Katanya, Umno BN begitu cemburu apabila melihat PAS bersama DAP duduk sepentas bercakap soal kebajikan rakyat, penyelewengan, penipuan pemimpin Umno dan banyak lagi.

"Fenomena itu yang membimbangkan Umno dan BN. Mereka kecut bila berhadapan dengan pembangkang seperti PAS yang tahu di mana kelemahan parti asobiah itu," jelas beliau.

Menurutnya, ketakutan Umno kepada PAS bertambah teruk apabila PAS berjaya menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS yang kini berperanan sebagai sebuah sayap terbaru parti untuk berhadapan dengan BN pada masa depan.

Masuk Surau: Nie Ching temui Nik Aziz









KUALA LUMPUR, 30 Ogos:
Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching hari ini bertemu Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi mendapatkan pandangan berhubung isu kunjungannya ke Surau Al-Huda, Kajang 22 Ogos lalu.

Beliau mengunjungi Menteri Besar Kelantan itu di Rumah Kelantan di ibu negara siang tadi sejurus Tuan Guru dan deligasi kerajaan Kelantan memfailkan saman kepada Petronas di pejabat Pendaftaran Dagang Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jalan Duta di sini.

Nie Ching ketika ditemui selepas pertemuan 10 minit itu berkata, beliau gembira dapat bertemu Tuan Guru dan mendapat pandangan yang jelas dari Tuan Guru yang juga Mursyidul Am PAS itu.

"Tok Guru jelaskan kepada saya bahawa dari segi Islam bukan menjadi satu isu orang Islam masuk ke surau atau masjid.

"Dia beritahu sebenarnya pada zaman Nabi Muhammad SAW, orang bukan Islam selalu masuk masjid untuk bertemu Nabi," katnya menjelaskan isi pertemuan.

Menurutnya, dalam pertemuan itu juga, Tuan Guru memberitahunya bahawa yang menyempitkan pemahaman berhubung isu bukan Islam kunjungi masjid adalah Umno.

Menurutnya, Umno kini sangat terdesak sehingga sanggup menyempitkan isu tersebut sehingga memberi tanggapan salah bukan Islam kepada Islam.

"Dia juga memberitahu saya, di Malaysia ini, Umno guna Islam untuk takutkan orang bukan Islam dan menjadikan Islam itu agama eksklusif sedangkan Islam itu adalah untuk semua manusia," katanya lagi.

22 Ogos lalu, Nie Ching berkunjung ke Surau Al-Huda, Kajang untuk menyampaikan bantuan membaiki pagar surau tersebut.

Beliau juga dijemput oleh jawatankuasa surau untuk menyampaikan ucapan ringkas.

Insiden itu bagaimanapun dieksploitasi media arus perdana dan Umno dengan mendakwa ia satu kesalahan dan mencemar imej Islam.

Nie Ching berkata, biarpun insiden tersebut dimainkan Umno, sehingga hari ini beliau masih berkunjung ke masjid dan surau yang menjemputnya.

"Saya masih menjalankan tugas saya sebagai ahli parlimen bila dijemput.

"Sejak insiden itu diperbesarkan, saya terus mendapat sokongan dari rakyat," katanya.

Sementara itu, Nie Ching juga memberitahu surat permohonan maaf kepada Sultan Selangor telah disampaikan melalui Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim Sabtu lalu.

'Budak' Bedong ni meloyakan - Buat malu warga Kedah ja...

Gambar Hiasan
Oleh Zolkharnain Abidin
 
 Kalau tidak salah ingatan, Zam pernah dipanggil ‘budak’ sahaja dalam Dewan Rakyat oleh al-Marhum Fadhil Noor. Panggilan itu dibuat ketika al-marhum menyampaikan ucapan mengenai peristiwa Memali.

Peristiwa Memali dijadikan modal politik oleh Zam untuk memberikan imej ganas kepada PAS. Namun, dengan kehendak Yang Maha Kuasa semuanya berjaya dirungkai dengan berkesan oleh al-Marhum.
Beliau dijemput pulang setelah misinya untuk membersihkan PAS dan mereka yang terkorban dalam peristiwa itu daripada lumuran tuduhan penderhaka oleh Umno.

Hari ini ‘budak’ ini diguna lagi oleh Umno. Isu kemerdekaan dan konfrontasi Malaysia – Indonesia pula dijadikan modal.

Dalam peristiwa Memali, ‘budak’ ini yang ketika itu berkuasa di RTM menggunakan kaca TV untuk memburukkan PAS dan Ibrahim Mahmud.

Hari ini, walau pun ‘budak’ ini tidak punya kuasa dimana-mana lagi, dia masih digunakan oleh laman web Umno untuk menyerang PR khususnya PAS.

Tuduhannya kali ini sangat berat. PAS minta harta orang Cina dirampas semasa peristiwa 13 Mei dan menyokong Indonesia untuk ‘mengambil’ Malaysia dalam konfrontasi Mal – Indo.

Implikasi tuduhan ini ialah kekeruhan hubungan. Satu, keruh hubungan diplomatik, dan kedua keruh hubungan antara kaum.

Kedua-duanya menggugat keselamatan negara. ‘Budak’ ini wajar benar dipanggil oleh pihak berkuasa keselamatan dan disiasat.

Isu Memali dibangkitkan di parlimen. Bangkitan di tempat itu boleh dikira wajar juga walau pun bertujuan jahat.

Namun, bangkitan mengenai masalah konfrantasi Mal – Indon dan rampasan harta Cina yang dibuat melalui laman web Umno mengundang implikasi buruk.

‘Budak’ ini memang berhasrat menyelamatkan Umno dengan bangkitan isu ini. Nampaknya cara al-marhum mengajar beliau dengan memanggilnya ‘budak’ 8 tahun lalu di parlimen tidak berkesan.

‘Budak’ ini perlu diajar dengan cara yang lain supaya mulutnya tidak terlalu muncung menuduh sebarangan.
Saya menyokong 'budak' ini disaman dan harap-harap itu menjadi kenyataan.

Kerajaan Kedah memperuntukkan RM590,000 bantu lanjut pelajaran


ALOR SETAR - Kerajaan Kedah memperuntukkan RM590,000 kepada lebih 2,200 pelajar yang melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Darul Aman, Lee Guan Aik berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM45,200 diagihkan kepada 117 pelajar di kawasan DUN Kota Darul Aman.

“Seramai 109 pelajar Ijazah menerima wang sagu hati RM400 manakala lapan pelajar Diploma menerima sumbangan RM200. Sumbangan ini adalah duit poket daripada Kerajaan Negeri yang disalurkan kepada pelajar miskin menerusi wakil rakyat masing-masing,” katanya, selepas menyerahkan sumbangan kepada pelajar IPT di pejabat DAP Kedah.

Guan Aik yang juga Pengerusi DAP Kedah/Perlis berkata, sumbangan ini melibatkan semua kaum tanpa batasan politik bagi meringankan beban keluarga pelajar terbabit.

“Agihan ini adalah peringkat permulaan setelah pertama kali dilaksanakan di negeri ini. Inilah dasar Pakatan Rakyat (PR) yang mahu mensejahterakan rakyat walaupun Kerajaan Negeri mempunyai sumber kewangan terhad,” katanya.

Menurutnya, berkat usaha Kerajaan PR yang berjaya mengurangkan ketirisan kewangan dalam pentadbiran sejak mengambil alih pemerintahan, hasil penjimatan diagihkan semula untuk kebajikan rakyat.

“Namun saya kesal sebab masih ada dakyah yang dilemparkan oleh pihak tidak bertanggungjawab kononnya Kerajaan Negeri tidak prihatin dengan rakyat miskin, malah menuduh kita bersikap kejam dalam isu-isu tertentu,” katanya.

Guan Aik berkata, walaupun dicemuh, pihaknya yakin isu yang sengaja ditimbulkan itu untuk memburuk-burukkan pemimpin Pakatan Rakyat tidak berjaya mempengaruhi rakyat.

Pada majlis sama, sebanyak 14 surau/masjid di kawasan DUN Kota Darul Aman menerima sumbangan Ramadan sebanyak RM300 daripada Kerajaan Negeri.

Pengagihan zakat dipertikai






SUNGAI ROTAN – Beberapa penduduk di sekitar kawasan ini meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pengagihan zakat yang dikatakan mereka tidak adil apabila penerimanya adalah orang yang berkemampuan.


Sinar Harian dimaklumkan zakat yang diberikan itu disalurkan ke masjid serta diagihkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKKP), namun penduduk di situ tidak berpuas hati dengan pengagihan yang dilakukan.

Penduduk, Che Gayah Taib, 68, berkata, pengagihan zakat yang dilakukan JKKKP kawasan itu dikatakan tidak telus apabila kebanyakan penerima zakat terdiri daripada keluarga yang berkemampuan.

Menurutnya, perkara ini tidak sepatutnya berlaku dan dia tidak berpuas hati kerana pada tahun ini tidak menerima zakat daripada pejabat zakat memandangkan setiap tahun dia memperolehnya.

“Saya hairan tahun ini saya tidak dapat kerana saya tidak berkemampuan sedangkan segelintir penerima zakat pada tahun ini terdiri daripada golongan berkemampuan tetapi kenapa saya tidak layak.

“Pihak berkenaan sepatutnya tidak boleh bertindak sedemikian kerana pengagihan zakat bukan perkara yang boleh dimain-mainkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Che Gayah berkata, dia telah meminta zakat kepada pejabat zakat dan dimaklumkan pengagihan telah dilakukan di kawasan ini.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Ketua-ketua Kampung (MKK), Surani Hamid berkata, pengagihan zakat yang dilakukan adalah tidak telus memandangkan banyak penduduk yang tidak berkemampuan tidak memperolehnya.

“Banyak pihak yang tidak berkemampuan datang bertanya kepada saya tentang pengagihan zakat, namun saya tidak dapat melakukan apa-apa kerana pengagihan zakat pada tahun ini diagihkan oleh JKKKP,” katanya.

Sunday, August 29, 2010

Mari la mari kita mengundi, laksanakan kewajipan pada negeri Kedah nan sejahtera.

Setelah menghampiri 2 tahun 6 bulan (seusia pemerintahan Khalifathul Islam Umar Abd Aziz), Pakatan Rakyat yang ditunjangi oleh Dato' Seri Ustaz Azizan Abd. Razak (PAS) 'memerintah' atau 'menerajui' pentadbiran kerajaan negeri. Pada pandangan dan pemerhatian serta penilaian anda, dimanakah
"Tahap Keberkesanan Pentadbiran YAB Dato' Seri Ust. Azizan Abd. Razak."


(Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.)

Kedah Sambut Baik Cadangan DS Najib Selaraskan Tarif Air Dan Cukai Tanah.

Ditulis oleh AMELIA HASHIM

ALOR SETAR, 25 Ogos: Kerajaan Negeri Kedah telah menurunkan cukai tanah antara 30 hingga 70 peratus pada tahun 2008 selepas mengambil alih pemerintahan, dan tidak munasabah untuk menaikkan pula dalam jangka masa terdekat, kata Menteri Besar Kedah YAB Ustaz Azizan Abdul Razak.

Walau bagaimanapun, beliau menyambut baik cadangan Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Najib Razak untuk selaraskan tarif air dan kenaikan cukai tanah seluruh Malaysia.

“Di Kedah ada beberapa pengecualian kerana Kedah baru sahaja menurunkan cukai tanah dua tahun lalu dan tidak wajar diubah dalam dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau mengulas isu ini apabila ditanya oleh wartawan dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini, hari ini.

Ujarnya lagi, pihaknya tidak mahu memberi kata putus buat masa sekarang kerana mesyuarat penyelarasan itu melibatkan semua Kerajaan Negeri dengan Perdana Menteri yang dijangka akan diadakan selepas hari raya nanti.

Menurutnya, isu tanah akan diberi pertimbangan mendalam kerana dalam hal lain tiada masalah. Kedah adalah satu-satunya negeri yang telah menurunkan cukai tanah, jadi tidak wajarlah selepas dua tahun hendak dinaikkan pula.

Pihaknya akan beri sokongan terhadap cadangan Perdana Menteri itu dan besedia mengadakan rundingan bagi mencapai kata sepakat, namun bagi Negeri Kedah beberapa perkara perlu diberi perhatian.

“Eloklah runding dulu sebelum memberi kata pendirian. Lagipun saya belum lagi terima surat menghadiri mesyuarat itu,” katanya.

Cadangan selaraskan tarif kenaikan dan cukai pintu oleh Perdana Menteri itu berikutan kebanyakan Kerajaan Negeri menghadapi tekanan pendapatan selain sumber yang terhad manakala kos untuk penyediaan bekalan air kian meningkat.

Beliau telah memberi tempoh dalam bulan Ramadhan ini kepada semua Kerajaan Negeri memaklumkan kepadanya sama ada mereka besetuju supaya beliau menjadi hos kepada satu perbicangan selepas hari raya nanti bagi mencari kata sepakat.

Kemelut UMNO Kedah Makin Hangat... PR Terus Menguasai Kedah Dalam PRU 13

Kemelut yang dihadapi oleh UMNO Negeri Kedah sehingga hari ini masih belum selesai. Persidangan Agung UMNO yang telah diadakan bagi memberi peluang kepada perwakilan memilih barisan kepimpinan untuk memimpin bahagian masing-masing - turut menjadi medan perebutan kuasa sehingga mencetuskan perbalahan.

Sungei Petani: Ali Yahya "direhatkan"

Dalam mesyuarat agung UMNO bahagian Sungei Petani pada 11 Julai yang lalu, kumpulan yang diterajui oleh Ali Yahaya terpaksa menjadikan platform tersebut untuk mencantas musuh politik yang akan menjadi halangan dalam perebutan jawatan.

TimbalanPengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Ahmad Bashah Md Hanipah (gambar kanan) berkata, walaupun UMNO bahagian Sungei Petani sudah diambil-alih pentadbirannya oleh Majlis Tertinggi, ketuanya, Ali Yahaya masih lagi menghadiri semua aktiviti parti termasuk mesyuarat di peringkat negeri.

Sebelum ini, terdapat dakwaan bahawa Ali telah "direhatkan" ekoran perbalahan yang berlaku semasa Persidangan Agung UMNO bahagian Sungei Petani, baru-baru ini. Ahmad juga menyatakan pentadbiran UMNO Sungei Petani hanya akan diserahkan kembali kepada kepimpinan bahagian setelah kedua-dua pihak yang bertelagah kembali berdamai dan tidak mempunyai masalah untuk menerima Ali sebagai ketua mereka.
Malahan ini semua adalah bergantung kepada keadaan supaya penyelesaian yang terbaik dapat dicapai antara kedua-dua pihak.

Nik Aziz pertahan anggota Parlimen Teo


KOTA BARU, 28 Ogos — Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini mempertahankan tindakan anggota Parlimen Serdang, Teo Nie Ching menyampaikan sumbangan dan tazkirah di ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral, Ahad lepas. 

Menteri Besar Kelantan itu berkata tindakan anggota Parlimen tersebut tidak menyalahi hukum Islam, malah sebaik-baik cara untuk mendekatkan mesyarakat bukan Islam kepada Islam.

“Tidak salah orang bukan Islam termasuk wanita masuk dalam masjid sama ada untuk berucap atau apa sahaja asalkan berpakaian sopan bagi bukan Islam dan menutup aurat bagi orang Islam,” kata Nik Aziz (gambar) kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas tindakan Anggota Parlimen DAP itu yang menyampaikan sumbangan dan tazkirah di ruang solat utama surau terbabit.

Tindakan Teo itu menimbulkan kemurkaan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menitahkan Majlis Agama Islam Selangor menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas pengurusan surau tersebut.

Mengulas lanjut, Nik Abdul Aziz berkata tindakan itu dilihat ganjil kerana umat Islam sekarang terlalu jahil dengan agama sedangkan pada zaman Nabi Muhammad SAW baginda mengajak orang kafir Quraisy tinggal di dalam masjid termasuk dibenar tidur, makan dan minum.

“Cuma apa yang dilihat (benda) itu sebagai pelik di zaman ini menunjukkan umat Islam kita terlalu jahil dengan agama,” katanya.

Nik Abdul Aziz sebelum itu hadir berbuka puasa dan menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 174 penghuni rumah anak yatim Puteri Harapan Taman Sabariah. — Bernama

Duit Raya RM500 - Untuk Kakitangan Awam Negeri Kedah

Mohd Ali Hashim


YAN, 28 Ogos: Kerajaan Negeri Kedah turut menghargai kakitangan awam negeri dengan membelanjakan sebanyak RM3 juta sebagai bayaran khas menjelang Aidilfitri tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, bayaran sebanyak RM500 setiap orang itu diberikan kepada semua kakitangan sehingga kumpulan Gred 54.

Menurut beliau lagi, semua kakitangan akan menerima bayaran tersebut dalam tempoh seminggu sebelum hari raya.

"Dengan sumbangan ini, ia dapat menampung keperluan keluarga dan menceriakan lagi sambutan Aidilfitri tahun ini.

"Walaupun sumber kewangan kerajaan negeri adalah terhad, berkat daripada tindakan kerajaan negeri melaksanakan penjimatan dalam pentadbiran, maka hasil tersebut dapat dikongsi bersama sebagai satu penghargaan kepada semua kakitangan," katanya.

Beliau yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah berkata, apa yang diberikan oleh kerajaan negeri kali ini adalah kadar yang termampu.

Azizan berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada guru Al-Quran dan bidang kampung di Kampung Teroi, Yan.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengumumkan pemberian wang khas sebanyak RM400 sempena Aidilfitri kepada 3,577 kakitangan awamnya.

Ia kemudiannya diikuti oleh Kerajaan Pusat yang mengumumkan pemberian sebanyak RM500 manakala Selangor, Pahang, Terengganu dan Melaka juga tidak ketinggalan dalam pemberian wang tersebut menjelang Aidilfitri yang akan datang.

AHLAN WAL SAHLAN YA MARHABAN.

SELAMAT MENJALANI IBADAH DIBULAN RAMADHAN YANG BAROKAH.

BULAN YANG MEMBAWA RAHMAT, KEAMPUNAN DAN PEMBEBASAN. 

HADIR DIDALAMNYA LAILATULQADAR
















SHIRRU'ALABAROKATILLAH.