

Menurutnya, kesemua pemimpin parti dan masyarakat seharusnya memandang apa yang berlaku di Perlis sebagai satu petanda baik yang menunjukkan Kerajaan Negeri dan pembangkang sedia bekerjasama demi kepentingan rakyat walaupun berbeza fahaman politik.
“Melihat apa yang berlaku di Perlis, saya fikir mana-mana pemimpin politik yang tidak berpuas hati seharusnya menghindarkan sentimen politik yang berlebihan sehingga menganggap parti lawan sebagai musuh.
“Ini kerana asas perjuangan mana-mana parti politik adalah sama iaitu memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan saya harap tindakan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu menjemput wakil rakyat pembangkang menyertai programnya perlu dicontohi pemimpin lain,” katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian semalam.
Beliau berkata sedemikian ketika diminta mengulas mengenai respon segelintir pemimpin politik dan masyarakat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) DUN Simpang Empat, Perlis yang kecewa dengan tindakan Dr Md Isa menjemput ADUN Pas, Rus’sele Eizan bersama beliau menyampaikan sumbangan di kawasan itu.
Ir Phahrolrazi yang juga Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kedah berkata, tidak timbul isu kesilapan strategi politik sekiranya kedua-dua pemimpin itu ikhlas memberi bantuan kepada rakyat.
Menurutnya, isu sedemikian tidak pernah timbul di Kedah kerana kedua-dua pihak mengamalkan sikap hormat-menghormati di samping matang dalam berpolitik.
“Ambil contoh semalam (kelmarin), sewaktu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee Heung mengadakan lawatan kerja ke Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), saya turut hadir itu sebagai menghormatinya.
“Saya fikir rakyat sekarang sudah boleh menilai keikhlasan seseorang pemimpin memberi sumbangan kepada mereka tanpa perlu mengadakan program berdasarkan kepartian semata-mata,” katanya.
Ir Phahrolrazi juga melihat apa yang berlaku di Perlis sebagai tindakan kumpulan tertentu yang cuba mencari alasan untuk menjejaskan kredibiliti Dr Md Isa di mata ahli UMNO dan rakyat Perlis.
“Bagi saya, tindakan mengkritik Menteri Besar adalah tidak wajar dan berniat jahat untuk menjatuhkan reputasi pemimpin itu,” katanya. (Sinar Harian.)
No comments:
Post a Comment