SUNGAI ROTAN – Beberapa penduduk di sekitar kawasan ini meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pengagihan zakat yang dikatakan mereka tidak adil apabila penerimanya adalah orang yang berkemampuan.
Sinar Harian dimaklumkan zakat yang diberikan itu disalurkan ke masjid serta diagihkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKKP), namun penduduk di situ tidak berpuas hati dengan pengagihan yang dilakukan.
Penduduk, Che Gayah Taib, 68, berkata, pengagihan zakat yang dilakukan JKKKP kawasan itu dikatakan tidak telus apabila kebanyakan penerima zakat terdiri daripada keluarga yang berkemampuan.
Menurutnya, perkara ini tidak sepatutnya berlaku dan dia tidak berpuas hati kerana pada tahun ini tidak menerima zakat daripada pejabat zakat memandangkan setiap tahun dia memperolehnya.
“Saya hairan tahun ini saya tidak dapat kerana saya tidak berkemampuan sedangkan segelintir penerima zakat pada tahun ini terdiri daripada golongan berkemampuan tetapi kenapa saya tidak layak.
“Pihak berkenaan sepatutnya tidak boleh bertindak sedemikian kerana pengagihan zakat bukan perkara yang boleh dimain-mainkan,” katanya kepada Sinar Harian.
Che Gayah berkata, dia telah meminta zakat kepada pejabat zakat dan dimaklumkan pengagihan telah dilakukan di kawasan ini.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Ketua-ketua Kampung (MKK), Surani Hamid berkata, pengagihan zakat yang dilakukan adalah tidak telus memandangkan banyak penduduk yang tidak berkemampuan tidak memperolehnya.
“Banyak pihak yang tidak berkemampuan datang bertanya kepada saya tentang pengagihan zakat, namun saya tidak dapat melakukan apa-apa kerana pengagihan zakat pada tahun ini diagihkan oleh JKKKP,” katanya.
No comments:
Post a Comment