Entering 'HELANG' territory at your own risk.

'BACA-lah Dengan Nama Tuhanmu Yang Maha Tinggi..'

Allah s.w.t. berfirman mafhumnya: "Wahai orang yang beriman, bertakwalah kalian kepada Allah dengan sebenar -benar taqwa, dan janganlah kamu mati kecuali kamu dalam keadaan Muslim." ( Surah Ali 'Imran : 102 )


" JIHAD YANG PALING UTAMA IALAH (MENYAMPAI) KATA-KATA BENAR DIHADAPAN PEMIMPIN YANG MENYELEWENG ".
(Riwayat At-Turmizi & Ibnu Majah)


“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang membuat zalim nanti kamu akan disambar oleh api neraka sedangkan kamu tiada sebarang penolong pun selain dari Allah. kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan”
(Surah Hud: 113)

"Manusia ketika di dunia semuanya tidur (lalai), bila mati baru mereka terjaga (tersedar)." ( Sayidina 'Ali r.a.)

"Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasullulah s.a.w. bersabda yang bermaksud; "Tuhan kita turun pada setiap malam ke langit dunia ketika tersisa sepertiga malam terakhir dan berfirman, 'Sesiapa yang berdoa kepada-Ku maka Aku memenuhinya. Sesiapa yang memohon kepada-Ku maka Aku akan memenuhinya. Sesiapa yang meminta ampun maka Aku mengampuninya.'"
( Hadis Qudsi Riwayat al-Bukhari, Muslim, AbuDaud dan lain-lain.)

Thursday, September 30, 2010

KUIN : Hubungkait Bina Darulaman Berhad dan IJM Corp. Berhad


Daripada maklumat yang diperolehi menyatakan sejak 2 -3 bulan kebelakangan ini Dato Jahubar Sathik (GMD BDB ) kerap mengambil cuti yang panjang antara 1 hingga 2 minggu dan berada sekitar Kuala Lumpur dalam tempoh bercuti. Pentadbiran BDB banyak dipantau ‘The Blue Eyed Boy’ beliau, Dino budak gembala ‘kuda pawah’ di Darulaman Golf.

 Dino yang juga dikenali sebagai ‘Hero Tasik’ berikutan dimana saja beliau ditugaskan akan terdapat ‘tasik’ samada semula jadi atau buatan manusia, terbaru ditugaskan GM di Darulaman Realty disamping masih mengekalkan jawatan nya sebelum ini di Darulaman Golf. Dia dilihat cukup berkuasa di BDB sehingga mampu mengarah pegawai2 yang lebih senior di BDB dan anak syarikat. Hampir semua staff BDB dan anak syarikat maklum sekiranya sesiapa saj yang bermasalah dengan beliau tidak mampu bertahan lama di BDB.
 
Sebagaimana yang menjadi buah mulut dikalangan staff BDB, banyak tindakan – tindakan Dato’ Jahubar Sathik dipengaruhi Dino termasuk isu yang sedang diperkatakan berhubung perlantikan IJM Corp. Berhad sebagai ‘Total Sub Cotractor’ untuk projek Kampus baru KUIN di Kuala Ketil.


Menurut sumber, tindakan menganugerahkan projek KUIN kepada IJM adalah merupakan ‘Retirement Plan’ oleh Dato’ Jahubar Sathik setelah menghadapi masalah dalam pengurusannya di BDB. Beliau yang menerima tekanan daripada Lembaga Pengarah BDB berikutan kegagalan beliau menguruskan sumber kewangan untuk meneruskan kerja-kerja pembinaan projek KUIN, walaupun beberapa intitusi kewangan secara dasar telah bersetuju untuk membiayai  projek tersebut dengan jaminan Kerajaan Negeri.
 
Kegagalan pengurusan beliau dapat dilihat berikutan 3 peristiwa perletakkan jawatan CFO BDB oleh tiga individu berbeza  dalam masa 2 tahun. Sumber juga memberitahu telah berlaku pergeseran antara beliau dan Lembaga Pengarah berikutan skim gaji yang diterima oleh beliau dan surat perletakan jawtan pernah dimajukan kepada Lembaga Pengarah.

Perkembangan terbaru ini membenarkan pandangan beberapa pihak yang menyatakan tindakan kerajaan PR Kedah membawa balik beliau sebagai GMD BDB adalah satu keselipan. YB Dato’ Amiruddin adalah individu yang bertanggungjawab membawa beliau kembali  ke Kedah walau ditentang oleh bebrapa orang pimpinan PR Kedah.Tidak sukar untuk memahami mengapa YB Dato’ Amiruddin mempertahan tindakannya, Dato Jahubar Sathik adalah bekas Bos beliau semasa beliau menjawat sebagai GM di Darulaman Golf satu ketika dulu. Dan dikatakan, Dato Jahubar Sathik banyak menyokong beliau dari segi kewangan semenjak beliau menceburkan diri dalam politik bermula kemenangan dalam Pilihanraya Kecil Dun Anak Bukit selepas kematian AlMarhum Dato Fadhil Nor. 

BILLYtheKID.

Tuesday, September 28, 2010

Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua - 'Holland of the East'

Apa perkembangan gagasan 'Holland of the East' yang dilhamkan oleh YAB MB dibawah agenda 'Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua'. Bagaimana status projek-projek rakyat yang telah dilancarkan :-

1) Projek Ternakan Keli-K
2) Kilang Pengetinan Keli dan Buah-buahan.
3) Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian
4) Ladang Kurma
5) Ladang Jagung dan Nenas
6) Projek Ternakan Ikan Tilapia di Tasik Pedu
7) Projek Ternakan Dalam Sangkar di Langkawi.
8) Penerokaan pasaran di Timur Tengah dan Eropah untuk produk-produk tradisional orang-orang kampong dan lain-lain yang tidak disenaraikan disini.

Dah lebih 2tahun 6bulan, tak nampak dan tak dengar apa-apa pun, senyap-sunyi dan kelam macam tu saja, pasai apa?, ada apa yang tak kena ka?

YAB MB hanya dok cheghita pasai projek Kampus baru KUIN saja dimana-mana pun.

Rakyat nak tau ni...PRU13 bukan lama mana dah.!

Jika putih katakan putih, jika hitam katakan hitam.

Usah disembunyikan bangkai gajah.


IJM Corporation Berhad bakal dianugerahkan sebagai ‘Total Sub Contractor’ Kampus Baru KUIN, di Kuala Ketil oleh Bina Darulaman Berhad (BDB)?.

Perkembangan terbaru projek Kampus baru Kolej Universiti Insaniah (KUIN) yang agak janggal dari amalan biasa perniagaan, urus-tadbir korporat dan pelaburan :-

1. Bina Darulaman Berhad adalah sebuah syarikat yang disenarai awam di Bursa Saham Kuala Lumpur yang mana sebanyak 60% sahamnya dikuasai oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK).

2. IJM Corporation Berhad juga merupakan sebuah syarikat yang disenarai awam di Bursa Saham Kuala Lumpur.

3. Projek Kampus Baru KUIN merupakan sebuah projek oleh Kerajaan Negeri Kedah yang telah melantik Bina Darulaman Berhad ( BDB) untuk dibangunkan secara ‘Design and Built’.

4. Bina Darulaman Berhad dianugerahkan projek atas beberapa sebab antaranya kerana a) Kerajaan Negeri mempunyai kepentingan di dalam BDB; b) BDB mempunyai tanah yang bersesuaian dan pada kos yang efektif; c) BDB mempunyai keupayaan pengurusan dan kewangan disamping mempunyai anak syarikat dalam sector pembinaan (Kedah Sato Sdn. Bhd.) yang diyakini mampu untuk melaksanakan kerja-kerja merancang dan pembinaan projek tersebut.


5. BDB telah mendapat pembiayaan kewangan dari beberapa intitusi kewangan atas jaminan Kerajaan Negeri.


6. Pelantikan BDB untuk membangunkan projek tersebut dilihat bijak kerana ianya akan membawa manfaat yang banyak kepada Kerajaan Negeri dan rakyat Kedah keseluruhan berbanding syarikat luar yang lain.


7. Sekiranya projek ini dibangunkan sepenuhnya oleh sumber dalaman BDB dan mengutamakan sumber sokongan juga daripada kontraktor kecil dan pembekal tempatan, dilihat mampu menjana perkembangan ekonomi negeri Kedah yang mana, Kerajaan Negeri dapat menjimatkan kos serta mendapat pulangan balik dari pelaburan yang dikeluarkan dan rakyat akan mendapat tempias secara lansung daripada pembangunan projek tersebut.



8. Secara logiknya, apabila projek ini diserahkan secara ’Total Sub’ kepada syarikat yang juga ‘Holding Company’ pastinya akan menyebabkan peningkatan kos dan mengurangkan pulangan keuntungan dan manfaat yang bakal diperolehi oleh Kerajaan Negeri dan rakyat Kedah.


9. Perlantikan IJM Corporation Berhad dilihat akan hanya memudahkan pengurusan yang dipikul oleh BDB, jika ini dijadikan alasan; mengapa perlu BDB membelanjakan puluhan ribu RM sebulan untuk membayar kepada seorang GMD dan ratusan ribu RM lagi untuk membiayai lain-lain tenaga pengurusan dan anak syarikat?


10. Tindakan yang pelik dan menimbulkan persoalan apabila ianya dibuat oleh seseorang yang baru dilantik sebagai GMD apatah projek ini adalah projek ’pertama’ beliau apabila menerima perlantikannya. Bagi mana-mana individu korporat projek ’pertama’ selepas pelantikan sangat signifikan kepada kewibawaan dan kemampuan diri sebagai testimonial yang akan menjustifikasikan perlantikan yang dilakukan adalah tepat. Melainkan ada kepentingan lain yang menjadi perhitungan.

Kerajaan Negeri perlu menilai kembali kemampuan sebenar pengurusan BDB dan menarik balik hasrat untuk melantik IJM Corporation Berhad sebagai ’Total Sub Contractor’ sekiranya mementingkan urus-tadbir yang telus dan mengambil berat kepentingan Kerajaan Negeri dan kebajikan rakyat negeri Kedah keseluruhannya selari dengan agenda Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua.

Wednesday, September 15, 2010

SADA menjejaskan kemeriahan Eidulfitri.

Kerajaan Negeri dan SADA perlu memohon maaf kepada seluruh rakyat Kedah khasnya umat Islam yang telah terjejas kemeriahan Eidulfitri yang sedang diraikan. Kelalaian dan kelemahan yang ditunjukkan amat mengecewakan. Kajian semula perlu segera diadakan

Rakyat memahami akan kesulitan dari kerja-kerja menaik-taraf infrastruktur bekalan air yang harus diterima demi keselesaan di masa depan. Apa yang dikesalkan, bagaimana ’kesulitan’ diuruskan agar tidak menyebabkan kehidupan seharian rakyat dan pembangunan terjejas dengan teruk.

Perancangan kerja yang baik dengan mengambil kira persekitaran dan rutin aktiviti seharian, amat membantu agar kejadian pada sambutan Eidulfitri kali ini tidak berlaku.

Kesulitan yang dihadapi mungkin remeh di hari – hari biasa, tetapi apabila berlaku semasa sambutan perayaan utama, ianya bagaikan ledakan gunung berapi di dada- dada rakyat yang sudah sedia bergelegak dek asakan berbagai karenah di musim perayaan.

Paling tidak, jika perancangan operasi benar - benar dilakukan dengan baik berdasar urus-tadbir korporat, notis atau pemakluman awal kepada rakyat berkenaan gangguan dan kesulitan perkhidmatan semestinya dihebahkan sebagaimana lazim dilakukan oleh ’Customer Service and Public Relation Department’ mana-mana intitusi korporat.

Amalan dan keujudan ’department’ ini sangat signifikan untuk penilaian tahap kecekapan pengurusan operasi korporat. Apakah ujud ’department’ ini dalam struktur SADA?, jika ujud, adakah individu yang mengendali benar-benar berkelayakan?.


II.


SADA ( Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd.) yang dimiliki sepenuhnya oleh Perbadanan Menteri Besar Kedah (PMBKed), ketrampilan nya adalah penanda aras kepada tahap kemampuan sebenar Pakatan Rakyat Negeri Kedah pimpinan PAS untuk memahami, merancang, merangka dasar dan polisi serta keupayaan mengemudi jentera pentadbiran melaksanakan dasar dan polisi Kerajaan Negeri yang lahir dari aspirasi gagasan Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua.

Semenjak mula dimasyurkan untuk mengambilalih pengurusan bekalan air secara korporat daripada Jabatan Kerja Air (JKA), beberapa tanggapan yang mengeliru disuarakan oleh beberapa pihak yang mengikuti perkembangan proses penubuhan dan perjalanan SADA samada dari sudut kemantapan struktur dan system urus-tadbir organisasi atau pun dari sudut ‘political maneuvering exercise’.


1. Dengan dimiliki sepenuhnya oleh PMBKed, memperlihatkan SADA lahir dari percaturan politik sebagai satu ’instrument’. Peranan nya akan kuat dipengaruhi oleh kepentingan ’survival’ kekuasaan politik berbanding kepentingan awam. Secara tidak langsung kepentingan awam telah dijadikan ‘pertaruhan’ di gelanggang politik kepartian.

2. SADA adalah sebuah agensi yang dilantik untuk melaksanakan polisi kerajaan dibawah rancangan tranformasi pengurusan bekalan air daripada urus-tadbir awam kepada urus-tadbir korporat sepenuhnya. Program yang boleh dikatakan agak ketinggalan berbanding negeri jiran yang memperolehi sebahagian besar sumber air mentah dari Kedah. Pulau Pinang ialah negeri yang mempelopori program tranformasi bekalan air dengan jayanya dan dijadikan model dan rujukan oleh negeri-negeri lain yang telah mendahului Kedah dalam pelaksanaan program tranformasi ini.

3. Perlantikan individu untuk mengisi jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), jawatan terpenting dalam organisasi korporat penting dan bernilai tinggi seperti SADA dilihat agak janggal daripada amalan urus-tadbir korporat yang diiktiraf dan lazim diamalkan. Dato’ Azmi Din yang berpengalaman luas dalam urus-tadbir awam dilantik untuk mengisi jawatan ‘peneraju’ urus-tadbir korporat, tentunya menimbulkan persoalan dan keraguan serta rasional criteria pemilihan yang diguna pakai. Negeri-negeri yang telah melaksanakan program ini dengan berjaya telah melantik CEO dari kalangan individu yang berpengalaman luas dalam urus-tadbir korporat atau jurutera profeisional dalam bidang berkaitan.

Dengan mengambil-kira faktor-faktor diatas serta kejadian semasa, sukar untuk membayangkan SADA akan muncul berjaya sebagaimana negeri-negeri yang lain dalam masa terdekat ini.

Berapa lama rakyat Kedah harus mengharungi kehidupan seharian dengan kesulitan hasil dari ketidakcekapan ’Penguasa Negeri’ mengurus-tadbir kebajikan rakyat dan pembangunan negeri?

Bila kah tahap sosio-ekonomi negeri Kedah dapat dipertingkatkan untuk menjamin keselesaan dan kemajuan taraf hidup rakyat.

Berapa banyak lagi dana kerajaan akan lebur untuk membiayai pengurusan bekalan air negeri dan berupayakah untuk memberikan pulangan yang setimpal dengan pelaburan yang dilakukan?.

Monday, September 6, 2010

2 Tahun 6 Bulan PR Menerajui Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman.- Satu Pandangan Umum.


08hb. September 2010, genap 2 tahun 6 bulan Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih dan menentukan kelansungan serta hala tuju pentadbiran kerajaan negeri Kedah – Jelapang Padi Malaysia.

Pakatan Rakyat Kedah yang diketuai oleh PAS memperkenalkan slogan baru ’Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua’.

Slogan yang mudah difahami dengan aspirasi murni untuk melihat negeri Kedah lebih maju dalam erti kata yang sebenar iaitu secara rohani dan jasmani manakala nikmatnya pula dapat dirasai oleh semua rakyat berbilang agama, keturunan dan taraf kehidupan.

Setelah 2 tahun 6 bulan dari sudut politik, Kedah adalah yang paling stabil berbanding negeri-negeri Pakatan Rakyat era pasca PRU12.  Pakatan Rakyat di Perak kecundang dek percaturan perkauman yang paling jijik dalam sejarah bagi sebuah Negara Raja Berperlembagaan. Selangor dan P.Pinang tidak pernah sepi bermula seawal selesai saja PRU12 sehingga kini malah semakin ditekan.

Tekanan yang semakin kuat yang diberikan kepada Selangor dan P.Pinang menampakkan ianya adalah petanda PRU13 boleh berlaku bila-bila masa sahaja lagi. Walau pun begitu, bagi Selangor dan P.Pinang ianya walaupun perit namun menjadikan mereka sentiasa bersedia dan terus bersiap-siaga sepanjang masa. Dan ianya memberikan kelebihan kepada kedua-dua negeri tersebut berbanding Kedah untuk menghadapi PRU13 nanti.

 Sememangnya teori diatas tidak dapat diterima seratus peratus, akan tetapi secara logiknya seorang ’peninju’ yang jarang beradu akan kurang pengalaman untuk merancang serangan dan membaca strategi lawan. Apatah lagi lawan yang bakal dihadapi ’orang lama’, mungkin perlahan dari segi pergerakan tetapi kaya dengan strategi dan ’vitamin’.

Mungkin juga PR Kedah mengambil pendekatan bertahan ataupun tunggu dan lihat memandangkan ’lawan’ dalam keadaan lemah’konon’nya, jika pun benar lemah; mengapa dibiarkan ’lawan’ kembali mengumpul tenaga?

Resmi ’ular kapak’ bukanlah lagak ’penakluk’ dan tidak sesuai sebagai watak bagi Pakatan Rakyat yang meletakkan sasaran untuk menawan Putrajaya.Jika Pakatan Rakyat ingin mencapai sasaran yang dihajati sewajarnya perlu berperwatakkan ’Tedung Selar’ sekurang-kurangnya.

Rakyat Malaysia pasca Tun Mahathir mempunyai pemikiran yang lebih terbuka dan objektif. Mereka menilai sesuatu dengan kaca mata perbandingan dan keseragaman antara aspirasi dan manifestasi. Mereka tidak mudah menerima apa saja yang disogok kepada mereka, buktinya ialah tsunami yang berlaku dalam PRU12 yang lalu.

Kestabilan yang diujudkan sememangnya diperlukan. Perubahan dan penambahbaikan juga adalah keutamaan yang mesti ditonjolkan untuk memenangi hati rakyat. Tentu sekali tidak wajar untuk membandingkan ketiga-tiga PR secara ’total’ kerana selain berbeza secara geografi, Parti yang menerajuinya pun berlainan. Walaupun aspirasinya sama tetapi pendekatan manifestasi pastinya akan sedikit berbeza disebabkan oleh ideologi perjuangan masing-masing dan hanya sekata pada titik-titik persamaan yang disepakati sahaja.
 
Sehingga kini walaupun rakyat Kedah diberi penjelasan bahawa ’tosei pun tidak dapat disiapkan semalaman’, maka perlu diberikan masa secukupnya. Kini sudah genap ’setengah’ penggal, kebiasaannya yang berbaki tidak mungkin ada ’setengah’ lagi.

 Amat-lah diharapkan PR Kedah telah bersedia dengan strateginya tersendiri. Aspirasi untuk menjadikan Kedah sebagai ‘Belanda Timur’ perlu dibukti secara ‘Blueprint’ sekurang-kurangnya, jika pun tidak sempat untuk dimanifestasikan secara realiti. Rakyat sedang menanti keberhasilan beberapa projek -projek ekonomi rakyat yang bertujuan untuk penambahbaikan taraf hidup mereka.

Ternakan Keli-K, Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian, Kilang Mengetin Ikan Keli dan Buah-buahan, Ladang Nenas dan Jagung, Ladang Kurma serta Anggur adalah antara dilancarkan oleh PR Kedah.

Rakyat terbanyak mungkin kisah sangat dengan projek-projek komersial seumpama kegagalan pelaburan di Papu New Guinei dan penangguhan Loji Penapis Minyak di Sungai Limau, Yan.

Rakyat yang telah mengundi Pakatan Rakyat dalam PRU12 tentunya merasa gembira dengan peningkatan Hasil Negeri namun ianya tidak memadai sekadar itu saja kerana mereka belum dapat merasakan ‘nikmat’ secara terus.

Kestabilan politik dan ketelusan pentadbiran haruslah menterjemahkan keberhasilan peningkatan taraf hidup dan mengurangkan kebejatan sosial masyarakat.Maka dengan itu-lah rakyat merasakan kerajaan yang dipilih benar-benar berwibawa dan berketrampilan. Jika sebaliknya, rakyat tidak akan berasa ragu-ragu untuk sekali lagi melakukan perubahan setelah peluang yang dirayu-rayu diberikan.

Dari sudut penerapan nilai-nilai Islam tidak dapat diperincikan memandangkan Kelantan tidak dapat dijadikan perbandingan kerana perbezaan yang ketara dari segi geografi dan ‘kitab’ rujukan walaupun dari satu parti.

Wednesday, September 1, 2010

Petion Online Saman Ekoq

 Assalamualaikum dan salam sejahtera..

  Sekadar berkongsi.  

   Kalau anda :-

  1. Salah seorang mangsa saman ekor
  2. Tidak setuju dengan kaedah perlaksanaan saman ekor









 


Anda boleh menyatakan pendirian anda secara online. Sama ada kerajaan akan ambik serius pandangan kita atau tidak, sekurang-kurangnya kita dah nyatakan pandangan kita.

Kalau kerajaan masih berkeras nak teruskan, buatlah apa yang patut masa Pilihranraya Umum Ke-13 kelak!

Pilihan di tangan anda. Jangan salahkan orang lain kalau anda sendiri memilih kerajaan yang menindas.

Klik di sini untuk petisyen  

http://www.petitiononline.com/saman/petition.html

Suara rakyat, suara keramat!

Keuntungan Koperasi Pembangunan Beris Berhad meningkat.


SIK – Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Azizan Abdul Razak mengumumkan dividen hasil keuntungan ladang Koperasi Pembangunan Beris Berhad (KPBB) pada tahun ini meningkat dari RM1.4 juta kepada RM1.6 juta.

Pengumuman itu turut disambut dengan penuh kesyukuran oleh semua ahli KPBB di mana KPBB adalah koperasi pertama di negara ini yang mengadakan kutipan cukai pintu berkelompok untuk jenis taman perumahan.



















 Kaedah itu sudah dilaksanakan semenjak tiga tahun lalu dan mendapat sokongan sepenuhnya daripada Majlis Daerah Sik (MDS) serta kepercayaan daripada ahli koperasi.

Pengerusi KPBB, Shuib Ismail menjelaskan, mereka mengadakan kutipan dengan cara membuat pemotongan wang keuntungan setiap ahli koperasi sebelum proses penyerahan hasil dividen keuntungan daripada pelbagai cabang aktiviti perniagaan diserahkan kepada mereka.

Menurutnya, setiap penduduk yang tinggal dalam kawasan perumahan ini secara tidak langsung akan menjadi ahli KPBB dan mereka masing-masing turut mempunyai saham dalam koperasi serta menerima hasil dividen setiap tahun.

“Tahun pertama, jumlah cukai pintu yang dikutip berkurangan kerana tempoh masa hanya enam bulan, namun pada tahun kedua dan tahun ketiga dikutip penuh bagi tempoh setahun iaitu sebanyak RM77.92 bagi setiap ketua keluarga mewakili sebuah rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Penyampaian Dividen Hasil Ladang di Bandar Baru Beris Jaya, di sini.
Shuib memberitahu, terdapat 600 rumah yang terdapat dalam kawasan ini dan melalui kaedah itu mereka dapat memastikan setiap ketua keluarga melunaskan hutang cukai pintu MDS tanpa sebarang masalah.

“Namun, kaedah pembayaran cukai pintu pada tahun 2011 akan diubah kepada pemotongan secara pukal bagi membolehkan lebihan wang daripada hasil bayaran dapat dijadikan sebagai tambahan modal untuk setiap ahli,” ujarnya.

Inisiatif membuat pemotongan dividen itu, katanya, turut dilaksanakan untuk tabung masjid sebanyak RM6 dan Takaful sebanyak RM51.95 bagi memastikan penduduk di sini mendapat perlindungan yang sewajarnya.
Sementara itu, Yang Dipertua MDS, Mat Noh Ahmad dalam ucapannya berkata, pihaknya menyambut baik usaha yang dilaksanakan oleh pihak koperasi dalam memastikan urusan kutipan cukai pintu dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Susulan daripada usaha itu, jelasnya, sebuah jawatankuasa pengurusan taman perumahan ini akan dibentuk bagi memudahkan segala permasalahan penduduk dapat diselesaikan dengan sebaiknya.

“Sebelum ini, apabila berlaku sebarang masalah melibatkan kemudahan infrastruktur seperti jalan rosak, lampu tidak bernyala dan sebagainya, koperasi menjadikan tempat rujukan masalah walaupun sebenarnya mereka tidak memikul tanggungjawab berkenaan,” katanya.

Mat Noh memberitahu, sekiranya proses pembentukan jawatankuasa terbabit berjalan lancar, koperasi akan lebih fokus terhadap peranannya dalam memajukan pelbagai aktiviti perniagaan bagi meningkatkan hasil dividen ahli.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelajaran dan Koperasi, YB. Dato’ Mohamed Taulan Mat Rasul.