Pakatan Rakyat Kedah yang diketuai oleh PAS memperkenalkan slogan baru ’Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua’.
Slogan yang mudah difahami dengan aspirasi murni untuk melihat negeri Kedah lebih maju dalam erti kata yang sebenar iaitu secara rohani dan jasmani manakala nikmatnya pula dapat dirasai oleh semua rakyat berbilang agama, keturunan dan taraf kehidupan.
Setelah 2 tahun 6 bulan dari sudut politik, Kedah adalah yang paling stabil berbanding negeri-negeri Pakatan Rakyat era pasca PRU12. Pakatan Rakyat di Perak kecundang dek percaturan perkauman yang paling jijik dalam sejarah bagi sebuah Negara Raja Berperlembagaan. Selangor dan P.Pinang tidak pernah sepi bermula seawal selesai saja PRU12 sehingga kini malah semakin ditekan.
Tekanan yang semakin kuat yang diberikan kepada Selangor dan P.Pinang menampakkan ianya adalah petanda PRU13 boleh berlaku bila-bila masa sahaja lagi. Walau pun begitu, bagi Selangor dan P.Pinang ianya walaupun perit namun menjadikan mereka sentiasa bersedia dan terus bersiap-siaga sepanjang masa. Dan ianya memberikan kelebihan kepada kedua-dua negeri tersebut berbanding Kedah untuk menghadapi PRU13 nanti.
Sememangnya teori diatas tidak dapat diterima seratus peratus, akan tetapi secara logiknya seorang ’peninju’ yang jarang beradu akan kurang pengalaman untuk merancang serangan dan membaca strategi lawan. Apatah lagi lawan yang bakal dihadapi ’orang lama’, mungkin perlahan dari segi pergerakan tetapi kaya dengan strategi dan ’vitamin’.
Mungkin juga PR Kedah mengambil pendekatan bertahan ataupun tunggu dan lihat memandangkan ’lawan’ dalam keadaan lemah’konon’nya, jika pun benar lemah; mengapa dibiarkan ’lawan’ kembali mengumpul tenaga?
Resmi ’ular kapak’ bukanlah lagak ’penakluk’ dan tidak sesuai sebagai watak bagi Pakatan Rakyat yang meletakkan sasaran untuk menawan Putrajaya.Jika Pakatan Rakyat ingin mencapai sasaran yang dihajati sewajarnya perlu berperwatakkan ’Tedung Selar’ sekurang-kurangnya.
Rakyat Malaysia pasca Tun Mahathir mempunyai pemikiran yang lebih terbuka dan objektif. Mereka menilai sesuatu dengan kaca mata perbandingan dan keseragaman antara aspirasi dan manifestasi. Mereka tidak mudah menerima apa saja yang disogok kepada mereka, buktinya ialah tsunami yang berlaku dalam PRU12 yang lalu.
Kestabilan yang diujudkan sememangnya diperlukan. Perubahan dan penambahbaikan juga adalah keutamaan yang mesti ditonjolkan untuk memenangi hati rakyat. Tentu sekali tidak wajar untuk membandingkan ketiga-tiga PR secara ’total’ kerana selain berbeza secara geografi, Parti yang menerajuinya pun berlainan. Walaupun aspirasinya sama tetapi pendekatan manifestasi pastinya akan sedikit berbeza disebabkan oleh ideologi perjuangan masing-masing dan hanya sekata pada titik-titik persamaan yang disepakati sahaja.
Sehingga kini walaupun rakyat Kedah diberi penjelasan bahawa ’tosei pun tidak dapat disiapkan semalaman’, maka perlu diberikan masa secukupnya. Kini sudah genap ’setengah’ penggal, kebiasaannya yang berbaki tidak mungkin ada ’setengah’ lagi.
Amat-lah diharapkan PR Kedah telah bersedia dengan strateginya tersendiri. Aspirasi untuk menjadikan Kedah sebagai ‘Belanda Timur’ perlu dibukti secara ‘Blueprint’ sekurang-kurangnya, jika pun tidak sempat untuk dimanifestasikan secara realiti. Rakyat sedang menanti keberhasilan beberapa projek -projek ekonomi rakyat yang bertujuan untuk penambahbaikan taraf hidup mereka.
Ternakan Keli-K, Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian, Kilang Mengetin Ikan Keli dan Buah-buahan, Ladang Nenas dan Jagung, Ladang Kurma serta Anggur adalah antara dilancarkan oleh PR Kedah.
Rakyat terbanyak mungkin kisah sangat dengan projek-projek komersial seumpama kegagalan pelaburan di Papu New Guinei dan penangguhan Loji Penapis Minyak di Sungai Limau, Yan.
Rakyat yang telah mengundi Pakatan Rakyat dalam PRU12 tentunya merasa gembira dengan peningkatan Hasil Negeri namun ianya tidak memadai sekadar itu saja kerana mereka belum dapat merasakan ‘nikmat’ secara terus.
Kestabilan politik dan ketelusan pentadbiran haruslah menterjemahkan keberhasilan peningkatan taraf hidup dan mengurangkan kebejatan sosial masyarakat.Maka dengan itu-lah rakyat merasakan kerajaan yang dipilih benar-benar berwibawa dan berketrampilan. Jika sebaliknya, rakyat tidak akan berasa ragu-ragu untuk sekali lagi melakukan perubahan setelah peluang yang dirayu-rayu diberikan.
Dari sudut penerapan nilai-nilai Islam tidak dapat diperincikan memandangkan Kelantan tidak dapat dijadikan perbandingan kerana perbezaan yang ketara dari segi geografi dan ‘kitab’ rujukan walaupun dari satu parti.
No comments:
Post a Comment