Entering 'HELANG' territory at your own risk.

'BACA-lah Dengan Nama Tuhanmu Yang Maha Tinggi..'

Allah s.w.t. berfirman mafhumnya: "Wahai orang yang beriman, bertakwalah kalian kepada Allah dengan sebenar -benar taqwa, dan janganlah kamu mati kecuali kamu dalam keadaan Muslim." ( Surah Ali 'Imran : 102 )


" JIHAD YANG PALING UTAMA IALAH (MENYAMPAI) KATA-KATA BENAR DIHADAPAN PEMIMPIN YANG MENYELEWENG ".
(Riwayat At-Turmizi & Ibnu Majah)


“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang membuat zalim nanti kamu akan disambar oleh api neraka sedangkan kamu tiada sebarang penolong pun selain dari Allah. kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan”
(Surah Hud: 113)

"Manusia ketika di dunia semuanya tidur (lalai), bila mati baru mereka terjaga (tersedar)." ( Sayidina 'Ali r.a.)

"Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasullulah s.a.w. bersabda yang bermaksud; "Tuhan kita turun pada setiap malam ke langit dunia ketika tersisa sepertiga malam terakhir dan berfirman, 'Sesiapa yang berdoa kepada-Ku maka Aku memenuhinya. Sesiapa yang memohon kepada-Ku maka Aku akan memenuhinya. Sesiapa yang meminta ampun maka Aku mengampuninya.'"
( Hadis Qudsi Riwayat al-Bukhari, Muslim, AbuDaud dan lain-lain.)

Sunday, January 30, 2011

Sapa Bodoh..?

 "Exco aku semua bodoh-bodoh...!!!"

"Sapa depa nak ajaq aku..? Aku pensyarah.. aku tau semua...!!!"

Wednesday, January 26, 2011

Tazkirah - Yang Memimpin dan Dipimpin

Allah berfirman dalam Surah al-Ahzab ayat 66-68: (maksudnya)

Pada masa muka mereka dibalik-balikkan dalam neraka, mereka berkata (dengan sesalnya): “Alangkah baiknya kalau kami dahulu (semasa di dunia) taat kepada Allah serta taat kepada Rasul Allah. 
 Dan mereka berkata lagi: “Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mematuhi kehendak ketua-ketua dan orang-orang besar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan yang benar. Wahai Tuhan kami, berilah mereka azab sengsara dua kali ganda, dan laknatkanlah mereka dengan laknat yang sebesar-besarnya!”.  

Justeru itu dalam hadis baginda menyebut: “Sesungguhnya ALLAH meredhai kamu tiga perkara, dan memurkai kamu tiga perkara. Dia meredhai kamu jika (pertama) kamu beribadah kepadaNya dan tidak menyekutukanNya sedikitpun, (kedua) kamu berpegang teguh dengan tali ALLAH kesemuanya. (ketiga) Kamu menasihati sesiapa yang ALLAH jadikan dia memerintah urusan kamu. Dia memurkai kamu banyak bercakap (yang tiada faedah), menghilangkan harta dan banyak bertanya (maksudnya pertanyaan yang tidak berfaedah)
 (Riwayat Malik dalam al-Muwatta`).

Firman Allah: (maksudnya) “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu memberikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum di kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu.” (Surah an-Nisa’ ayat 58).


Seorang pemimpin itu mestilah mempunyai penasihat-penasihat yang baik. Mereka menasihatinya dengan jujur, dan hendaklah selalu dia berkata “berikan pendapat yang ikhlas lagi diredhai Allah kepada saya” Sabda Nabi s.a.w.: “Tidak dilantik seorang khalifah melainkan akan ada baginya dua bitanah (penasihat yang rapat). (Pertama) Bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kebaikan serta menggalakkannya. (Kedua) bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kejahatan serta menggalakkannya. Hanya selamat ialah sesiapa yang selamatkan ALLAH. 
 (Riwayat al-Bukhari dan al-Nasai).

Semua pemimpin hendaklah memastikan perdampingan dengan penasihatan yang baik itu benar-benar dihayati dalam kepimpinannya. Inilah jalan selamat setiap kepimpinan.

Sunday, January 23, 2011

Tazkirah - Pesan Taqwa untuk Pemerintah.


Wahai Amirul Mukminin!

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesiapa sahaja dalam kalangan pemerintah, apabila mati dalam keadaan menipu rakyatnya, nescaya diharamkan syurga untuknya.”



  Wahai Amirul Mukminin!

Sesiapa yang benci kepada kebenaran, sesungguhnya ia benci kepada Allah kerana sesungguhnya Allah itu benar lagi membenarkan.

Hendaklah tuanku tegakkan kebenaran dan keadilan ke atas rakyat. Tutuplah aurat (keaiban) mereka. Janganlah dikunci pintu rumah tuanku atau mengadakan hijab (penghalang) antara tuanku dengan mereka. Hendaklah tuanku bergembira dengan nikmat yang mereka terima dan bersimpatilah dengan musibah yang menimpa mereka.

Wahai Amirul Mukminin!

Urwah bin Ruwain berkata: ”Pernah Rasulullah s.a.w. memiliki pelepah kurma yang digunakan untuk bersugi sehingga menakutkan kaum munafik. Kemudian turunlah jibril bertanya: ’Hai Muhammad! Apakah pelepah kurma ini engkau gunakan untuk menghancurkan atau menakutkan hati umatmu?’.”

Wahai Amirul Mukminin!

Relakanlah dirimu dengan dirimu! Dan carilah keamanan daripada Tuhanmu! Gemarlah kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi. Ingatlah sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: ”Sesungguhnya tempat letak panah yang dimiliki oleh ahli syurga itu lebih baik daripada dunia dan seisinya.” (Riwayat al-Tabarani no.6134)

Wahai Amirul Mukminin!

Sesungguhnya jika sesebuah kerajaan yang sebelummu itu kekal, nescaya ia tidak akan sampai kepadamu. Begitu jugalah, ia tidak akan kekal ditanganmu atau sesiapa sahaja.

Wahai Amirul Mukminin!

Ingatlah kata-kata Umar al-Khattab: ’Jika mati anak kambing di tepi sungai Furat (Iraq), nescaya aku takut akan dipertanggungjawabkan  mengenainya diakhirat kelak! Maka bagaimana pula halnya dengan rakyatmu yang tidak beroleh keadilan daripadamu sedangkan ia sangat hampir denganmu?”

Wahai Amirul Mukminin!

Allah s.w.t. telah berfirman yang bermaksud: ” Hai Daud! Sesungguhnya Kami jadikan engkau khalifah di muka bumi. Sebab itu putuskanlah sesuatu perkara antara rakyatmu dengan kebenaran. Janganlah engkau turut kemahuan nafsumu, nanti engkau akan disesatkan dari jalan Allah.” ( Surah Sad 38:26)

Wahai Amirul Mukminin!

Rasulullah bersabda yang bermaksud: ” Setiap pemerintah akan dibawa pada hari kiamat dengan tangannya dirantaikan ke leher. Ia hanya dapat dibuka oleh keadilannya. Ia diberhentikan di atas titian sirat di atas neraka yang akan bergerak dengan satu gerakan yang akan menghilangkan seluruh anggota dari badan. Kemudian ia dikembalikan. Lalu dihitung  amalannya. Kalau ia dahulu berbuat baik, nescaya ia terlepas dengan kebaikannya. Kalau ia dahulu berbuat jahat, nescaya pecahlah titian itu, lalu ia terhumban ke dalam neraka tujuh puluh kharif (jarak masa setahun).”

Wahai Amirul Mukminin!

Umar r.a. berkata: ” Amir (pemerintah) itu ada empat jenis:

1.                  Amir yang kuat yang dapat mengawal diri dan pegawai-pegawainya. Ia seperti mujahid ( orang yang berjihad ).

2.                  Amir yang kuat yang dapat mengawal dirinya sendiri sahaja dan tidak pegawai-pegawainya. Dia berada ditepi jurang kebinasaan, kecuali Allah menurunkan rahmat keatasnya.

3.                  Amir yang dapat mencegah pegawai-pegawainya membiarkan dirinya mengikut hawa nafsu. Ia berada dalam keadaan yang membahayakan sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: ’Pengembala yang terjahat  itu bahaya yang menghancurkan. Dia itu binasa sendiri.’

4.                  Amir yang membiarkan dirinya dan pegawai-pegawainya menurut hawa nafsu. Mereka kesemuanya akan binasa.”

Wahai Amirul Mukminin!

Umar al-Khattab telah berdoa: ”Wahai Tuhanku! Sekiranya menurut ilmu-Mu, aku akan terpengaruh apabila dua rakyatku dihadapkan kepadaku, kepada yang miring daripada kebenaran, baik yang dekat atau jauh, maka janganlah Engkau biarkan aku walaupun sekelip mata.”

Wahai Amirul Mukminin!

Sesungguhnya yang paling berat ialah berdiri tegak untuk menegakkan kebenaran kerana Allah. Yang paling mulia di sisi Allah ialah taqwa. Sesiapa yang mencari kemuliaan dengan mentaati Allah, nescaya ia akan diangkat dan dimuliakan oleh Allah, sesiapa yang mencari kemuliaaan dengan membuat maksiat kepada Allah, nescaya ia akan dihina dan direndahkan oleh Allah.
 

( Surat ini ditulis dan diutuskan oleh Imam al-Auza’I kepada Khalifah al-Mansur, pemerintah Abbasiyyah )

Friday, January 21, 2011

Tazkirah - ' Ana khairun minhu.'

Takabbur sebenarnya adalah hak eksklusif Allah s.w.t. Tidak ada sesiapa pun yang boleh mencabar-Nya. Orang yang takabbur pasti lebur. Mereka akan musnah di dunia dan akan terseksa di akhirat. Ini ditegaskan sendiri oleh-Nya melalui sebuah hadis kudsi.


 Daripada Abu Sa'id al-Khudri dan Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Allah berfirman: ' Kesombongan adalah selendang-Ku dan kebesaran adalah sarung-Ku. Maka sesiapa bersaing dengan-Ku pada salah satu daripada kedua-duanya, maka pasti Ku lemparkan  ia ke dalam jahanam'." (Riwayat Abu Daud no. 4092 dan Ibnu Majah no. 4147)


Takabbur sering menyerang individu yang mempunyai potensi. Lebih banyak potensi  yang dimiliki oleh seseorang maka lebih terdedahlah dia kepada sifat takabbur. Semuanya gara-gara merasakan diri 'lebih' dan orang lain 'kurang'. Berasa diri mulia, orang lain hina. Rasulullah s.a.w. memberi definasi yang tepat dan padat tentang takabbur menerusi sabdanya yang bermaksud:."...sombong itu adalah menolak kebenaran dan menghina makhluk." (Riwayat Muslim no.275)

Para Ulama menjelaskan ada tiga (3) ciri utama individu yang takabbur. Ciri-ciri itu adalah:

>   Merasa diri lebih baik.


>   Menghina orang lain

>   Menolak kebenaran.

Ketiga-tiga sifat itu menyerang manusia dalam bentuk pakej. Ketiga-tiganya datang serentak. Ia saling berkait antara satu sama lain. Apabila merasakan diri lebih baik, mulia dan tinggi, seseorang itu cenderung memandang orang lain buruk, hina dan rendah. Apabila dua sifat itu mendominasi seseorang maka dia akan jadi terlalu obses terhadap dirinya sendiri. Ketika itu dia akan menolak apa sahaja pandangan, saranan dan teguran daripada orang lain walaupun benar.

Hendaknya kita dapat membezakan antara takabbur yang terkeji dengan harga diri yang terpuji. Orang yang mempunyai harga diri (izzah dan maruah) memandang dirinya tinggi kerana Islam, bukan atas sebab-sebab kehebatan diri sendiri. Individu yang mempunyai harga diri yang tinggi merasakan dirinya berkemampuan, berkeyakinan dan berhak untuk berjaya dalam hidup hasil keyakinannya kepada Allah.

Orang yang mempunyai harga diri yang tinggi sangat menghargai orang lain. Mereka melihat dunia sebagai medan 'perkongsian' untuk berlumba-lumba melakukan kebaikan dan kebajikan. Para rasul, nabi, sidiqqin, syuhada dan orang soleh adalah mereka yang mempunyai harga diri yang tinggi.Mereka sentiasa mendapat inspirasi daripada ayat al-Quran ini: "Jangan kamu berasa hina dan jangan kamu berasa gentar. Kamulah orang yang tinggi jika kamu beriman." (Surah Ali 'Imran 3:139)

Dan hasil pertembungan antara harga diri dan takabbur inilah yang berlaku sepanjang sejarah perjuangan mendaulatkan Islam. Yang berjuang menegakkan Islam mempunyai keyakinan diri yang tinggi kerana keimanannya, manakala yang menentangnya juga disebabkan keyakinan kerana ketakabburannya. Terdapat garis pemisah yang sangat besar antara kedua-dua sifat itu walaupun impaknya kepada diri seolah-olah hampir sama.

Orang yang takabbur sukar menerima kebenaran. Hatinya menjadi terlalu keras untuk terus mempertahankan keegoannya walaupun kebenaran sudah diakui oleh hati kecilnya (fitrah). Namun hati besarnya (takabbur) akan terus menolak kerana bimbang kedudukan atau status sosial akan tergugat sama ada oleh kebenaran itu sendiri atau oleh pembawanya.

Inilah yang berlaku kepada Abu Lahab, Abu Jahal dan lain-lain pemuka Quraisy yang merasakan jika mereka menerima Islam dan kerasulan Muhammad s.a.w. mereka akan hilang 'kerusi' kepimpinan di Makkah. Rasulullah s.a.w. mengingatkan menerusi sabda Baginda yang bermaksud: "Terimalah kebenaran itu walaupun datangnya daripada hamba yang berkulit hitam dan berambut kerinting".

Imam al-Baihaqi meriwayatkan dalam kitab Syu'ab al-Iman daripada Umar bin al-Khattab katanya:
"Sesiapa yang bertawaduk kerana Allah, maka Allah akan mengangkat darjatnya. Ia sangat hina dimata sendiri, namun sangat mulia dimata orang lain. Dan sesiapa yang menyombongkan dirinya, maka Allah akan merendahkannya. Sehingga ia menjadi sangat besar dimatanya sendiri, namun sangat hina di mata orang lain. Bahkan ianya lebih hina di sisi mereka daripada seekor khinzir atau anjing."

Monday, January 17, 2011

Kedah Sato: YB Dato’ Mahfuz Omar bakal di-saman..?


Belum reda rupanya isu perletakkan jawatan YB Dato' Mahfuz Omar sebagai Pengerusi Kedah Sato Sdn. Bhd. Sememangnya tidak akan mudah reda, kerana isu nya membabitkan pelaksanaan polisi (dasar) dan prinsip yang diperjuangkan.

Pertembungan yang berlaku bukan sekadar hanya bersifat kepentingan peribadi, ianya melibatkan amanah yang dipikul dan janji yang menjadi pertanggungjawaban.

Dengan jelas, YB Dato' Mahfuz menyatakan beliau tidak menentang perlantikan IJM Corp.; sebaliknya beliau tidak boleh bersetuju dengan kaedah perlantikan yang diguna-pakai kerana bertentangan dengan polisi (dasar) yang diputuskan oleh kerajaan Pakatan Rakyat Kedah yang dipimpin oleh PAS yang mana beliau adalah Naib Presiden dan Tim. Pesuruhjaya (2) PAS Negeri Kedah.

Beliau yang juga Ahli Parlimen, berusaha mempertahankan prinsip ketelusan yang diperjuangkan di Dewan Rakyat dan harus diaplikasikan disemua peringkat.

Dato' Jahubar Sathik sewajarnya akur dengan polisi (dasar) kerajaan yang memerintah agar semua projek-projek dilaksanakan secara 'Tender Terbuka'. Beliau mungkin mempunyai alasan atau hujah dari sudut pengurusan korporat atau perniagaan. Akan tetapi, tenyata polisi(dasar) ini di-ingini oleh majoriti rakyat Kedah dengan memilih Pakatan Rakyat yang secara jelas menggariskannya didalam manifesto mereka pada PRU12 yang lalu.

Siapa Dato' Jahubar Sathik yang tega mengetepikan polisi (dasar) ini? Beliau sendiri dilantik oleh kerajaan Pakatan Rakyat untuk melaksanakan polisi (dasar) ini dalam urus-tadbir korporat dan perniagaan GLC yang dibawah tanggungjawab beliau, ironinya beliau bertindak secara kontra, mengapa?.

Beliau memang dilihat begitu berpengaruh sehingga berupaya untuk menapis serta menolak penama-penama yang di tetapkan kerajaan Pakatan Rakyat Kedah sebagai Ahli Lembaga Pengarah untuk Bina Darulaman Berhad dan subsidari yang lain.

Dato' Jahubar merupakan GMD Bina Darulaman Berhad yang paling mewah berbanding yang sebelum daripada ini. Disamping gaji dan elaun bulanan yang mencecah RM30,000 sebulan, beliau juga dibekalkan dengan tiga (3) buah kereta rasmi ( Perdana V6 Executive, Pajero Sport KCV 5522 dan Toyota Camry 2.4 dengan no.pendaftaran peribadi KCQ 7'786' ). Dimaklumkan bagi tahun kewangan 2010, beliau telah mendapat imbuhan bonus tahunan yang melebihi tiga (3) bulan gaji (<RM100,000) sedangkan kakitangan keseluruhannya dinafikan. 


Terbaru, sumber memaklumkan Dato' Jahubar Sathik berhasrat untuk mengambil tindakan perundangan (Saman) terhadap YB Dato' Haji Mahfuz Omar berikutan perletakkan jawatan sebagai Pengerusi Kedah Sato Sdn. Bhd.


YB Dato' Haji Mahfuz Omar pastinya gembira mendengar perkembangan ini, mungkin beliau inginkan Dato' Jahubar mempercepatkan tindakan perundangan yang dihasratkan. Dari segi politik, tindakan saman itu nanti pasti akan mampu melonjak populariti YB Dato' Mahfuz menjelang PRU13 yang bakal menjelma. Dan jika memenanginya ( sebagaimana beberapa kes sebelum ini ), pampasan yang diperolehi boleh dijadikan dana membantu rakyat dikawasan beliau khasnya.

Nota: Sehingga artikel ini ditulis, jawatan Pengerusi Kedah Sato Sdn. Bhd. yang dikosongkan masih belum di-isi, sumber memberitahu buat masa ini jawatan dipangku oleh Tuan Haji Mat Akhir Talib. ( Baru sahaja selesai mengubahsuai rumah. )

Friday, January 14, 2011

Tazkirah.- Tahun Yang Penuh Muslihat


Daripada Abu Hurairah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:  

Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh muslihat, di mana akan dibenarkan padanya orang yang berdusta, dan akan didustakan orang yang benar. 

Akan dipercaya orang yang berkhianat, dan akan dituduh berkhianat orang yang terpercaya. Serta akan bertutur padanya Ruwaibidhah. 

Maka ada yang menanyakan: "Apa itu Ruwaibidhah?"

Dijawab baginda s.a.w. : "Iaitu, orang yang bodoh dan hina ditugaskan menangani kepentingan umum."

- Riwayat Ibn Majah.

KCE tidak ditutup tapi digantung.?


Sinar Harian bertarikh 11hb.Jan 2011 yang lalu menyiarkan kenyataan daripada YB S.Manikumar, Exco Kerajaan Negeri yang juga Pengerusi Kedah Communication and Events Sdn. Bhd. (KCE) bahawa KCE tidak akan ditutup.

Hasil mesyuarat yang diadakan antara ALP KCE dan PMBKED memutuskan agar pengurusan KCE diberi masa meneliti semula operasi atau berhadapan dengan penstrukturan semula. Juga dimaklumkan bahawa antara punca krisis ini ialah salah faham di antara pengurusan KCE dan teraju PMBKED.

Berdasar maklumat dari sumber dalaman memberitahu bahawa kenyatan yang dikeluarkan sekadar untuk meredakan keadaan sahaja.
 

Operasi KCE telah hampir 7 bulan dibekukan. Menurut sumber, KCE tidak akan ditutup sebaliknya akan digantung bermula 31hb.Januari 2011. Kakitangan akan ditawarkan pampasan 3 bulan gaji.

 Sinar Harian juga memetik, KCE dikatakan mengalami kerugian sebanyak RM4 juta ringgit semasa dibawah pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat. Jika benar ianya merupakan sesuatu yang amat mengejutkan.


Dalam tempoh 3 tahun beroperasi, kerugian yang dicatatkan adalah sangat meragukan. Siasatan awam diperlukan untuk memastikan apakah punca yang menyebabkan kerugian yang sebegitu tinggi dialami.

Adakah disebabkan kelemahan dan kegagalan pengurusan atau ujud unsur-unsur lain; campur tangan politik; penyelewengan.? 

Rakyat berhak untuk mengetahui hasil siasatan yang dilakukan kerana ianya melibatkan wang rakyat.

Tuesday, January 11, 2011

Menteri Besar Kedah Kena Saman.?


"Diam Ubi Berisi, Diam Kedah Berdaki". Politik negeri Kedah yang dikatakan tenang dan stabil kini kian berkocak dan semakin hilang keseimbangan. Bukan kerana serangan luaran dari pembangkang (UMNO/BN) tetapi oleh faktor-faktor dalaman.


Terkini, YAB Dato Sri Ustaz Azizan bin Abdul Razak telah disaman oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atas kapasiti beliau sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah  Kolej Universiti Insaniah Sdn. Bhd. (KUISB) yang gagal mengemukakan laporan tahunan syarikat kepada SSM.

KUISB juga dikatakan sedang mengalami masalah kewangan yang sangat meruncing sehingga menyebabkan gaji kakitangannya telah tertunggak selama dua (2) bulan, disamping menanggung beban liabiliti kos operasi dan hutang niaga yang tinggi.


Kepimpinan Pakatan Rakyat terutamanya PAS Kedah disarankan agar memberi perhatian yang serius dan segera bertindak menangani perkembangan yang sangat membimbangkan mutakhir ini. Jangan sampai 'nasi sudah menjadi bubur'.


Kepentingan negeri dan rakyat tidak wajar untuk diperjudikan demi melindungi  kelompok atau individu tertentu. Kelemahan dan kepincangan yang jelas ujud perlu diatasi secara tegas dan tuntas ( 'at all cost' ). Kompromi yang berterusan tanpa had dan sempadan hanya akan membuka ruang dan peluang kepada kezaliman serta peraniayaan. 

Sunday, January 9, 2011

Kedah Sato @ Soto..?

Tindakan perletakkan jawatan YB Dato' Hj. Mahfuz Omar menghidangkan berbagai pandangan balas dan telahan, samada negatif atau positif corak huraiannya. Ada yang mengandungi fakta berserta butiran teknikal dari sudut urus-tadbir korporat dan percaturan politik, namun tidak terkecuali yang hanya berbekalkan baran sentimen dan gelegak emosi semata-mata.

Majoritinya bersetuju bahawa kedua-dua pihak yang bertembung mempunyai hujah masing-masing  walau tanpa menyatakan pilihan untuk memihak secara jelas.Sekadar mempamer kecenderungan kepada peribadi tertentu sahaja. Kebenaran tertegak dengan hujah. Sekiranya ujud pertembungan, yang kukuh mengatasi yang daif di-atas asas bagi menghindari mudarat yang lebih berat dan memperolehi manfaat.

Berdasarkan maklumat yang diperolehi, kaedah pengurusan projek yang diamalkan oleh Kedah Sato dalam projek Kampus Induk KUIN ini dikatakan agak janggal dan meragukan;

1. Tender yang disertai oleh 6 kontraktor diabaikan dengan melantik IJM secara rundingan terus. Kewibawaan 6 kontraktor seakan tidak langsung di-iktiraf walaupun layak menyertai tender yang bernilai RM180juta. Mereka pasti mempunyai kemampuan kerana penyertaan mereka bukan percuma. Benar, IJM bereputasi tinggi, tapi tidak terkecuali dari kewajipan mengutamakan etika dan nilai ketelusan yang tinggi dalam persaingan perniagaan.

2.  Dokumen tender disediakan sepenuhnya oleh Kedah Sato tanpa penglibatan kumpulan juru-runding yang telah dilantik. Amalan semak dan timbang telah diketepikan, yang mana secara tidak langsung akan membuka ruang kepada amalan korupsi.

3. Rundingan timbal balik dilihat tidak memberi kelebihan kepada Kedah Sato dan kurang bijak, walaupun Bina Kuari juga sebuah subsidari Bina Darulaman Berhad. Tindakan YB Dato' Hj.Mahfuz Omar sangat bertepatan sebagai Pengerusi yang bertanggungjawab dan bertegas melindungi kepentingan Kedah Sato Sdn. Bhd.

bersambuing...

Saturday, January 8, 2011

KCE mungkin ditutup..?

Sinar Harian bertarikh  08hb. Januari 2011, menyiarkan di muka depan nya berita berhubung kemungkinan Kedah Communication and Events Sdn. Bhd. (KCE) akan di tutup. Krisis GLC yang meruncing makin  menjerat kepimpinan PR dan mencerna bahang kepanasan yang kian menghakis ozon politik negeri.

KCE yang ditubuhkan di-era Dato Sri Mahathir Khalid (BN) dan terus beroperasi apabila Dato Sri Azizan Razak (PR) mengetuai Kerajaan Negeri Kedah baru berusia sekitar 4-5 tahun. Persoalannya, mengapa hanya setelah hampir tiga (3) tahun beroperasi dibawah kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat ianya mungkin ditutup?.

Bermakna, adanya berlaku kegagalan mengenalpasti, merancang dan membangunkan potensi dan urus-tadbir perniagaan. KCE merupakan antara GLC yang aktif, secara tiba-tiba mengalami kemungkinan ditutup.Mengapa?

Tunggu perkembangan yang selanjutnya.

Sila 'bookmark' helangkedah.blogspot.com agar tidak tercicir.

Tuesday, January 4, 2011

Islam Bersifat Terbuka

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Kamu lebih mengetahui tentang urusan keduniaan kamu sendiri.”
Riwayat Bukhari & Muslim

Huraian:
  • Islam adalah agama yang mudah dan ia memberikan kebebasan kepada umatnya untuk mengeluarkan pendapat terutama dalam urusan yang menyentuh hal keduniaan seperti dasar peperangan, urusan pentadbiran, pertanian, perekonomian dan sebagainya.
  • Berfikiran terbuka akan membolehkan kita mudah diterima oleh orang lain dan ini akan merapatkan lagi hubungan di antara satu sama lain apalagi jika sikap ini dimilki oleh seorang pemimpin dengan rakyatnya.
  • Dalam mengekalkan keharmonian dan keamanan hidup bermasyarakat, setiap individu hendaklah mengamalkan sikap berani kerana benar iaitu sesiapa yang melihat berlakunya penyimpangan dari perkara yang sebenarnya maka hendaklah ditegur dan dinasihati dengan cara yang baik. Manakala orang yang ditegur itu pula mestilah bersikap terbuka untuk menerima kenyataan dan memperbaikinya demi untuk kebaikan semua pihak.

Sunday, January 2, 2011

AMARAN - SILA AMBIL PERHATIAN.




TAHAP KEPANASAN DI NEGERI KEDAH DIKESAN SEMAKIN MENINGKAT DENGAN MENDADAK. ADALAH DIRAMALKAN AKAN BERLAKU BEBERAPA LEDAKAN DALAM TEMPOH  TIGA (3) BULAN DARI SEKARANG. AMARAN INI DIKELUARKAN SEBAGAI PERSEDIAAN UNTUK MENGURANG KESAN KEMUSNAHAN DAN BAGI MENGELAK SEBARANG TRAJEDI YANG TIDAK DIINGINI. HARAP MAKLUM.